Assalamualaikum

Sunday, June 11, 2017

Ustaz Yasir Ramlee: Kesedihan

KESEDIHAN MENGHASILKAN GEMBIRA


Sedih adalah suatu perasaan dukacita. Puncanya boleh wujud dari pelbagai sebab, tapi terkadang ia muncul tanpa ada sebarang punca.
Ajaibnya, sedih kadangkala menghasilkan gembira. Gembira kerana ia memaksa diri untuk menjadi lebih tawadhu dan insaf. Membuatkan kita berasa untuk menjauhkan diri buat seketika bagi proses muhasabah. Lalu kita memulakan langkah untuk rapat dengan tuhan.
Sedih juga boleh menghasilkan gembira ketika kita mulai menghitung apa yang telah kita ada. Lalu kita bandingkan dengan apa yang pergi dan tiada. Akhirnya kita sedar, alangkah banyak kurniaan tuhan rupanya yang selama ini tidak sempat disyukuri.
Kerana kesedihan membuatkan kita ingin menjauhkan diri daripada manusia awam, lalu kita pun mulai mencari teman. Dari sinilah kita juga mulai mengenali siapakah rakan biasa dan sahabat luar biasa. Akhirnya kita ketahui siapa manusia pengkhianat dan insan penyelamat.
Kalaulah kesedihan tidak menyebabkan kita sedar diri, maka itu sebuah kemalapetakaan.Kerana sedih kita menjadi lebih menghargai. Kerana sedih kita berterima kasih pada sebuah gembira yang datang di kemudian hari.
Itulah sebabnya kesedihan mungkin sebuah kegembiraan tertangguh yang datangnya dari tuhan. Alhamdulillah.



-Ustaz Yasir Ramlee-

0 comments:

Followers