Assalamualaikum

Friday, July 10, 2009

Merebut gelaran hamba

Merebut gelaran hamba bertakwa
Oleh Hashim Ahmad

* bahan diterbitkan untuk tujuan perkongsian*

PERKATAAN hamba dalam konteks bahasa biasa seharian bermaksud orang suruhan. Dalam Islam pula, hamba digolongkan sebagai orang yang belum memerdekakan diri dan bertanggungjawab sepenuhnya kepada majikan atau tuannya.

Ketika penggunaan hamba berleluasa suatu ketika dulu, seseorang itu mungkin asalnya merdeka, tetapi apabila berlaku rompakan ke atas kaumnya atau dia menjadi orang tawanan perang setelah kalah dalam peperangan maka dia menjadi hamba.

Hidup seseorang hamba itu tidak mempunyai kebebasan, malah dia dikongkong atau diawasi majikan atau tuannya. Selain itu dia terpaksa melakukan apa saja kerja yang disuruh tuannya walaupun kesihatannya terganggu.

Pendek kata, seorang hamba tergolong dalam status sosial paling rendah. Hidupnya akan sentiasa tertekan dan keadaan ini akan berkekalan selagi dia tidak menebus diri daripada majikannya. Begitulah keadaannya apabila kita menjadi hamba manusia.

Sebaliknya keadaannya jauh berbeza apabila seseorang itu menjadi hamba Allah dan semua manusia wajib menjadi hamba-Nya. Dia yang menjadikan kita dan sebab itu patut mematuhi segala titah perintah-Nya.

Tujuan utama Allah mencipta manusia supaya kita menjadi hamba dan mengabdikan diri kepada-Nya. Ini jelas daripada Firman Allah yang bermaksud:

“Dan tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat (mengabdikan) kepada Ku.”

(Surah Az Zariyat: Ayat 56)

Berpandukan ayat itu, tidak wajar kita menjadikan nafsu dan syaitan sebagai pedoman dalam mengharungi hidup seharian. Semua orang wajib menganggap dirinya hamba Allah kerana kita diciptakan Tuhan daripada tidak ada menjadi ada.

Namun pengakuan kita dengan mulut sahaja adalah tidak mencukupi untuk menjadi seorang hamba Allah. Pengakuan kita belum tentu diterima Allah selagi tidak membuktikannya dengan mengerjakan segala suruhan dan menjauhi larangan-Nya. Dengan lain perkataan, kita hendaklah mengaku patuh kepada Allah dan rasul-Nya, Nabi Muhammad s.a.w.

Bagi membimbing atau memandu kita supaya tidak terpesong dan tergelincir daripada jalan yang diredai-Nya - menjadi hamba yang dimegah dan dilindungi rahmat-Nya - maka Allah s.w.t mengutus para Nabi dan Rasul. Terdapat 25 rasul dan nabi yang wajib dipercayai dan diyakini setiap insan yang mengaku dirinya beragama Islam.

Peranan dan tugas utama rasul diutus ialah untuk mengajar manusia dan semua pengajaran dan petunjuk yang dibawa rasul adalah pengajaran dan petunjuk Allah s.w.t. Adalah satu kesalahan besar sekiranya dalam mengharungi hidup seharian, kita tidak mengendah dan mengalpakan diri daripada ajaran Nabi Muhammad. Orang yang berbuat demikian tidak patut dan tidak seharusnya mendakwa dirinya sebagai hamba Allah.

Dalam Surah Al Bayinnah Ayat 5 pula Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan tidaklah mereka disuruh melainkan menyembah Allah serta mengikhlaskan agama kepada-Nya (beribadah menurut perintah Nya).”

Daripada ayat tersebut jelas matlamat utama Allah menjadikan manusia agar mereka menjadi hamba Allah - mengikhlaskan diri dalam mengerjakan segala titah perintah-Nya yang dibawa melalui utusan-Nya, Nabi Muhammad s.a.w

Apabila kita menyedari keadaan ini, pastilah kita akan berusaha untuk mencapai kejayaan dalam hidup baik di dunia atau di akhirat kelak. Menyedari hakikat ini akan mendorong kita untuk bergerak sesuai sebagai seorang hamba Allah. Segala kerja akan kita laksanakan dengan berpandukan bahawa kita hamba Allah - baik kerja itu dibuat secara sulit atau secara terang, secara berkelompok atau bersendirian

Sebaliknya, kerja yang dilakukan tanpa berlandaskan syariat Islam - tanpa menyedari bahawa kita hamba Allah walaupun kerja itu mencapai kejayaan tetapi kejayaan itu adalah sementara sahaja. Apabila kita berhadapan dengan Allah, baik di alam kubur mahu pun di alam akhirat, nampak jelas kita gagal di sepanjang jalan.

Sebab itu periksalah diri dan buatlah persiapan untuk menjadi hamba Allah. Pelajari dan selidik sedalam-dalamnya cara hendak menjadi hamba yang diredai Allah.

Satu daripada cara bagaimana hendak menjadi hamba yang mengabdikan diri kepada Allah dinyatakan melalui Firman-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya mendapat kemenangan orang-orang yang membersihkan hati (baik hati) dan merugi (elak) orang yang mengotorkan hatinya (jahat).”

(Surah As Syams: Ayat 9 dan 10)

Daripada ayat itu Allah menjelaskan orang yang membersihkan hatinya akan beroleh kebahagiaan dan kemenangan sepanjang hayat sama ada umurnya panjang atau pendek. Sebaliknya mereka yang mengotori hatinya akan kerugian walaupun umurnya panjang, hartanya melimpah ruah dan ilmu pengetahuannya tinggi menggunung.

Bagaimanakah cara untuk membersih dan mengotorkan hati? Soalan ini dapat dijawab Nabi Muhammad saja. Baginda dilantik khusus oleh Allah untuk menceritakan hal ini.

Banyak cara untuk membersihkan hati, satu daripadanya ialah mendengar cerita mengenai kisah nabi dan orang soleh.

Al-Quran banyak membincangkan mengenai hukum, nasihat dan kisah nabi, malaikat, syaitan, iblis, orang kafir dan orang mukmin. Kisah itu bertujuan memberi kesedaran, keinsafan dan pengajaran mengenai kekuasaan Allah yang mentadbir seluruh alam ini.

Kebesaran dan keagungan Allah pula boleh memberi keinsafan kepada manusia untuk memikirkan mengenai kelemahan dirinya sebagai makhluk Allah.

Apabila kesedaran dan keinsafan ini meresap ke dalam hati dan jiwa setiap manusia, maka lahirlah perasaan untuk memperhambakan diri kepada Allah iaitu dengan mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan segala apa yang dilarang-Nya.

Sesungguhnya setiap yang hidup akan mati, tetapi tiada siapa tahu bila giliran masing-masing.

Ketika menumpang hidup di bumi Allah ini, kita dituntut membuat pelbagai kebaikan dan amalan yang diredai-Nya. Sesiapa yang menghadap Tuhan dengan amalan baik, pasti akan menerima pembalasan baik di akhirat.

Sebenarnya hamba Allah adalah suatu pangkat yang tinggi di sisi-Nya. Pangkat ini diberi kepada solihin dan muttaqqin. Nabi Muhammad sendiri dinamakan hamba Allah dan utusan-Nya.

Beruntunglah mereka yang berusaha bersungguh-sungguh supaya diterima Allah sebagai hamba-Nya yang sejati. Insya-Allah.

Followers